Friday, January 6, 2017

السلام عليكوم ورحمة الله وبركته

Sedikit perkongsian....(^_^)....

Surau al-Furqan, Presint 11,Putrajaya @15/8/15,Kuliah selepas maghrib
Program : "Sembang Santai-Menggapai keberkatan dunia & akhirat"
Ahli Panel: Yang Berbahagia Ustaz Ahmad Dasuki, Shah Alam & Ustaz Jefrey, Penang

Ustaz Ahmad Dasuki;

  • Dalam hidup, kita perlu mendapat; hidayah, keampunan, keberkatan dan lain-lain.
  • Harta yang kita miliki seperti duit dan rumah hendaklah daripada SUMBER yang diberkati oleh Allah.
  • Kita boleh mengambil berkat daripada Rasulullah s.a.w. Selepas ketiadaan baginda kita boleh mengambil berkat daripada orang-orang alim, ulama'. Berikut merupakan kisah-kisah di zaman baginda bagaimana para sahabat sentiasa mencari peluang untuk mengambil berkat daripada Rasulullah s.a.w.;
    • Sahabat baginda, Ummu Aiman Radiallahuanha. Ketika baginda bermalam di rumah Ummu Aiman, Rasulullah s.a.w. terjaga daripada tidur untuk membuang air kecil. Suasana malam yang gelap gelita menyebabkan baginda merasa risau sekiranya ada kala jengking di tempat membuang hajat. Jadi baginda membuat keputusan untuk membuang air kecil dalam bekas kecil dan telah menyandarkan bekas itu di tepi dinding. Selepas itu, baginda kembali masuk tidur. Ummu Aiman terjaga daripada tidurnya dan merasa sangat dahaga, ketika tercari-cari air beliau terjumpa bekas yang disandarkan oleh baginda di tepi dinding dan meminumnya. Keesokan harinya, selepas kembali daripada solat subuh, Rasulullah s.a.w. bergegas ke tempat semalam. Namun begitu, baginda mendapati air di dalam bekas tersebut telah tiada. Lantas, baginda menyoal Ummu Aiman. Selepas tiga kali disoal oleh Rasulullah s.a.w., Ummu Aiman memberitahu baginda bahawa beliau telah minum air tersebut. Rasulullah menjelaskan cerita sebenar dan menyatakan bahawa Ummu Aiman tidak akan terkena penyakit kulit sepanjang hidupnya kerana beliau telah terminum air kencing baginda.
    • Sahabat baginda, Khalid Al-Walid meletakkan rambut baginda dalam kain serban yang dipakainya. Ketika beliau pergi berperang, kain serban yang dipakainya telah jatuh. Selepas peperangan, beliau kembali ke medan perang dan mencari kain serban beliau. Para sahabat yang lain kehairanan, kenapa tidak dibeli sahaja serban yang baru memandangkan harga serban tidak terlalu mahal. Beliau menyatakan dalam kain serbannya terdapat helaian rambut Rasulullah s.a.w. Di mana, jika beliau atau ahli keluarganya terkena penyakit demam, beliau akan merendam rambut baginda di dalam air dan meminum air tersebut.

Ustaz Jefrey;

  • Berkat ini merujuk kepada 'bercambah'. Contohnya, kita hanya dapat 10 tapi manfaatnya seperti 20. Oleh sebab itu, kita perlu mencari berkat dalam hidup ini.
  • Sebagai suami yang bertanggungjawab, kita perlu menjaga rezeki yang masuk ke dalam keluarga. Ini kerana rezeki itu terkait dengan berkat kepada anak-anak dan isteri. Contohnya;
    • Ketika kita miskin atau hidup sederhana, kita mampu untuk menjadi IMAM. Apabila kita direzekikan Allah untuk menjadi kaya, kita masih MAMPU untuk menjadi imam. Jadi ini menggambarkan yang hidup kita DIBERKATI oleh Allah s.w.t.
    • Namun begitu, katakan sebaliknya, ketika kita miskin atau hidup sederhana, kita mampu untuk menjadi imam. Apabila kita direzekikan Allah untuk menjadi kaya, kita TIDAK mampu untuk menjadi imam dan semakin jauh dari Allah. Maka, ini dinamakan ISTIDRAJ.
  • Jika kita ingin melihat samada hidup kita diberkati atau pun tidak, lihat anak-anak kita. Jika rezeki tidak berkat, anak-anak akan jadi tidak tentu arah, hilang rasa keinginan untuk beribadat, dan doa tidak mustajab. Ini kerana, benda yang tumbuh daripada benda yang haram, maka api neraka lah tempatnya. Jadi, masa bekerja kena jaga. Amanah dengan Allah.

Ustaz Ahmad Dasuki;

  • BERKAT merupakan sesuatu yg sedikit tapi kenyang/berbaloi, bukan suatu yg dapat begitu shj, tapi adalah satu anugerah drp Allah melalui individu teristimewa iaitu Rasulullah s.a.w., melalui diri (zaman Baginda shj), sekarang melalui al-Quran dan al-hadith.
  • Pesanan Rasulullah s.a.w.;

1) Minum air zam-zam utk mendapat keberkatan, minum & niat.
2) Minum susu.
3) Makan kurma ajwa (7 biji pagi & 7 biji mlm).
3) Memakai pakaian berwarna putih.
4) Berwangi-wangian, minyak attar, yang nak meninggal letak minyak atar di dahi.
5) Minum madu.

  • Selain itu, kita juga boleh mendapat BERKAT melalui individu-individu antaranya melalui ibu bapa. Jadi jangan diguris hatinya, bercakap dengan lemah lembut, dan ibu bapa mertua-sama kedudukan dgn ibu bapa. Besarnya nilai ibu, walaupun dipikul ibumu untuk menunaikan ibadah haji dari Madinah ke Mekah, ianya belum cukup untuk membayar setitis peluh ibumu.
  • Kemudian melalui individu kedua iaitu orang alim. Bila ulama' tiada di muka bumi, hilang berkat yg dinikmati daripada beliau. Ini kerana beliau juga merupakan salah satu sumber keberkatan.
  • Di samping itu, individu org miskin & anak yatim juga mampu memberi berkat. Jadi adalah disarankan untuk kita mengusap kepala anak-anak yatim. Orang yang mengherdik anak yatim & orang miskin akan hilang keberkatan. Siapa yang menjaga anak yatim akan dekat dengan Rasulullah s.a.w. di akhirat nanti. In sha Allah.
  • Rasulullah s.a.w. juga ada menyebut hendaklah pergi ke tiga tempat ini sebelum melancong ke tempat lain. Tempat-tempat ini juga memiliki keberkatannya:

1) Masjidil Haram
2) Masjidil Nabawi
3) Masjid al-Aqsa

  • Selain itu, di antara tempat-tempat lain yang ada berkatnya ialah masjid-masjid. Kita akan merasa tenang dan lapang jika kita duduk didalam masjid. Cara terbaik ketika kita berada di dalam masjid adalah jangan berbicara hal dunia dan jangan bermain dalam masjid (termasuk bermain handphone).
  • Rumahtangga juga merupakan tempat yang memiliki berkat. Justeru itu, jika kita kahwin kerana Allah kita akan mendapat keberkatan. Tanda keberkatan rumahtangga adalah walau ke mana pun kita pergi hati akan teringat rumah yang ditinggalkan. Kalau tiada keberkatan kita rasa malas nak balik ke rumah. Keberkatan datang daripada ketaatan kepada Allah. Kita disarankan perbanyakkan aktiviti mengingati Allah untuk mencari keberkatan seperti membaca Al-Quran.
  • Suasana yg baik seperti menghadiri majlis ilmu juga mampu memberi sinar keberkatan. Namun keberkatan akan hilang sekelip mata saje apabila kita melakukan maksiat. Ini kerana siapa saja yg melakukan maksiat, Allah tidak akan memberi ketenangan kepadanya. Allah akan menurunkan azab jika kita tidak cuba untuk berbuat sesuatu untuk mengembalikan keberkatan kepada keluarga, negara & bumi ini.

Ustaz Jefrey

  • Jika kita kehilangan berkat waktu/masa kesannya kita akan rasa masa sangat pendek. Keberkatan waktu dinilai di sisi Allah. Contoh Imam Nawawi mampu melakukan solat seribu rakaat dalam semalaman. Berkat tidak boleh diukur dengan nombor. Ulama' zaman dahulu yang mampu mengarang banyak risalah2/kitab2.
  • Jika kita berkehendak dengan masa, Allah akan menganugerahkan keberkatan akan masa.

Kesimpulannya kita perlu ada ILMU, ilmu perlu kepada berkat, tanda berkat ilmu;

1) Faham ilmu
2) Bercambah berkat bila terasa keinginan nak buat
3) Mampu buat
4) Mampu sampaikan
5) Adab-tidak beradab dalam majlis, dengan guru etc

Semoga bermanfaat kepada semua. Walaupun sudah lama dalam buku nota ku, baru sempat ku coretkan buat rakan-rakan sekalian. Nota ini diambil ketika mendengar ceramah di Surau, jadi ada juga yang tidak sempat dicoretkan. Sekadar kemampuanku mencoret sekilas pendengaran yang terhad anugerah Allah. 

#NotaCeramahAgama
#SharingisCaring

Ju Anizai Zaini

No comments:

Post a Comment